Monday, December 6, 2010

Salam Maal Hijrah 1432

maal hijrah, maal hijrah 1432, mall hijrah 1433, maal hijrah 2010, logo maal hijrah, lagu maal hijrah, logo maal hijrah terbaru

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Semoga iman bertambah mantap, amalan bertambah, perjuangan menegakkan syiar Islam dimantapkan, seiring dengan peredaran zaman yang semakin mencabar ini.
Kalau ikut Tarikhnya ialah, 1 Muharam 1432, bersamaan hari selasa 7 Disember 2010, atau maghrib hari ini.
Semoga tahun depan lebih baik dari tahun ini. Ia merupakan satu permulaan untuk ke jalan kebaikan dan meninggalkan segala kemungkaran. Jadikanlah hijrah yang sebenar seperti hijrah nabi kita yang kita sayangi Nabi Muhammad SAW. Amin.

Tuesday, November 30, 2010

Takwa Pelindung Daripada Sebarang Perkara Buruk

SABAN minggu kita diingatkan khatib dalam khutbahnya supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Dalam peringatan itu khatib berkata, takwa boleh dicapai dengan melaksanakan semua perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.

Persoalannya sekarang, adakah kita benar-benar faham apa itu takwa atau disebabkan sering kali diingatkan lantas membuatkan kita menganggap takwa sebagai perkataan yang tidak membawa sebarang erti mendalam serta tidak berkaitan dengan iman.

Kepentingan takwa sebenarnya jelas apabila ia menjadi antara rukun khutbah yang perlu diberi perhatian. Meninggalkan peringatan untuk bertakwa kepada Allah dalam teks khutbah akan menyebabkan ia tidak sempurna.

Sebenarnya bagi mencapai takwa yang hakiki, bukan sekadar menghendaki kita melaksanakan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya. Takwa memerlukan kita melakukan lebih daripada itu kerana ia membabitkan amalan roh dan jiwa.

Takwa membawa maksud berwaspada, berjaga-jaga dan takut kepadaNya dengan menjauhi segala laranganNya. Asal kepada perkataan 'ittaqa' itu juga membawa maksud menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara.

Jelaslah takwa bukan saja membawa maksud takut kepada Allah, malah sebagai pelindung dan pemelihara daripada sebarang perkara buruk, lebih-lebih lagi perkara yang boleh membawa kita tergolong di kalangan hambaNya yang rugi di akhirat nanti.

Ketinggian tahap takwa apabila ia dijadikan kayu ukur kepada pemilihan hamba Allah yang dipandang mulia di sisi-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sebagai satu cara untuk mencapai takwa bagi kita yang mungkin boleh dikategorikan dalam golongan bawahan jika dimuhasabah dari segi tahap keimanan, beberapa perkara yang dikaitkan dengan takwa menerusi ayat al-Quran perlu diteliti antaranya:

Berbuat baik sesama insan serta bermaaf-maafan

Ayat ini berkaitan dengan hubungan suami dan isteri yang bercerai.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jgua yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 237)

Sentiasa berlaku adil

Allah menjelaskannya menerusi firman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Ma'idah, ayat 8)

Melakukan amalan dengan keikhlasan

Allah menjelaskan perkara ini serta mengambil ibadah korban sebagai contoh, dalam firman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu." (Surah al-Hajj, ayat 37)

Melaksanakan perintah Allah dengan penuh kesabaran

Hal ini dijelaskan Allah melalui perintah solat bagi menggambarkan bahawa ibadat yang diperintahkan sememangnya memerlukan kesabaran dalam pelaksanaannya.

Gangguan syaitan dan dorongan nafsu manusia yang mengarah kepada keburukan akan sentiasa menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan ibadat dan perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Toha, ayat 132)

Menjaga hak orang lain dan memenuhi janji

Firman Allah yang bermaksud: "Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 76)

Dapat disimpulkan sifat mahmudah atau terpuji haruslah sentiasa disemai dalam diri setiap individu Muslim bagi mencapai ketakwaan yang sebenar kepada Allah. Berbaik sangka sesama manusia, mudah memberi dan meminta maaf, sabar, adil, ikhlas, memenuhi janji, berkasih sayang, reda adalah amalan hati yang boleh membentuk peribadi terpuji serta prasyarat mencapai martabat golongan bertakwa.

Tanpa takwa yang sebenar dalam diri, segala perintah Allah yang dilaksanakan tidak membawa sebarang faedah dan manfaat kepada diri dan kehidupan dunia serta akhirat. Allah secara jelas menyatakan takwa seharusnya dijadikan pakaian diri setiap Muslim dan ia sebaik-baik pakaian.

Firman Allah bermaksud: "Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya." (Surah al-A'raaf, ayat 26)




Friday, November 26, 2010

TAZKIRAH BAGAIMANA : MENENANGKAN HATI DAN JIWA

Di dalam ajaran Islam semua masalah, ada jalan penyelesaiannya atau jalan keluar untuk mengatasi masalah, faham atau tidak sahaja atau mahu atau tidak kerana Islam itu agama keselamatan dunia akhirat, penyelesai semua masalah. Al Quran ada menyatakan:
FIRMAN ALLAH:
“Dan kami menurunkan daripada Al Quran itu barang yang iaitu menjadi ubat dan rahmat kepada orang mukmin dan tidak menambah akan orang yang zalim itu melainkan orang yang zalim itu melainkan rugi”.
Allah SWT mengatakan Al Quran atau Islam itu adalah ubat untuk penyakit lahir dan batin, fizikal dan rohani, dunia dan akhirat dan juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat. Juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat bagi orang mukmin. Allah SWT menyebut orang mukmin kerana orang mukmin sahaja yang mahu tunduk dan patuh kepada Al Quran atau ajaran Islam. Kalau orang kafir atau orang Islam sahaja, tidak akan mahu menerima atau payah mahu menerimanya. Allah SWT ada menyebut dalam Al Quran bahawa orang mukmin sahaja mudah diingatkan dan mudah menerima ajaran Islam atau ajaran Allah.
FIRMAN ALLAH:
“Tidak ada ucapan orang mukmin itu apabila di ajak kepada Allah dan Rasulnya agar menghukum dikalangan mereka itu melainkan mereka berkata-kata kami dengar dan kami patuh.”
Ertinya berkira dengan orang mukmin mudah, berkira dengan orang Islam lebih-lebih lagi yang bukan Islam sangat susah. Apatah lagi hendak diajak merujuk kepada Allah SWT dan Rasulnya, lebih liat lagi. Justeru itu bagi orang mukmin untuk menenangkan jiwanya Allah SWT memberitahu di dalam satu ayat berbunyi:
“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang.”
Di sini tahulah kita ubat hati tidak tenang ialah banyak mengingati Allah SWT. Apabila banyak meningati Allah SWT, jika tidak tenang atau terasa kosong. Al Quran ada menyebut dalam sepotong ayat berbunyi;
“Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.”
Maksudnya, orang menolak atau melupai Tuhan serta tidak faham apa yang Allah suruh dan larang serta tidak faham apa yang Allah lakukan pada dirinya maka jiwanya sentiasa sempit, tidak tenang, gelisah, resah, susah sekalipun ia kaya, berkuasa, ada nama, ada glamour.

Thursday, November 18, 2010

Manis Tutur Kata

Mengenai manis tutur kata pula merupakan satu perkara yang tidak kurang pentingnya, kalaupun tidak lebih penting dari yang lain. Perkataan para pendakwah merupakan alat penghubung antaranya dengan orang ramai, ia juga merupakan alat untuk menyampaikan sesuatu maksud dan fikrah, oleh itu kiranya para pendakwah dapat memelihara lidahnya, menguasai percakapannya, berupaya untuk memilih perkataan-perkataan yang baik-baik dan susunan kata yang indah, bererti beliau telah mampu menarik hati orang ramai dan sekaligus beliau berjaya menyelam masuk ke dalam hati dan diri mereka.

Tetapi sebaliknya jika beliau tidak mampu berbuat demikian, malah tidak mengambil endah terhadap apa yang keluar dan celah kedua bibirnya, bererti beliau telah membina sendiri benteng yang memisahkannya dengan orang ramai, benteng yang tidak mudah untuk ditembusi, malah dengan itu menjadikannya dicela, dibenci, dijauhi dan tidak dimesrai oleh orang ramai.
 
Di antara firman Allah yang berhubung dengan permasalahan ini ialah firman-firman Allah berikut:
"Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." [Al-Isra':53]
 
"Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia." [Al-Baqarah: 83]
 
"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima), Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun." [Al-Baqarah: 263]
 
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar." [Al-Ahzab: 70]
"Dan mereka diberi pertunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan ditunjukki (pula) kepada jalan (Allah) yang terpuji." [Al-Hajj: 24]
 
"Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik." [An-Nahl: 125]
 
"Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut." [Thaha: 44]
 
[Konsep Penguasaan Dalam Kehidupan Dakwah dan Pendakwah - Utz. Fathi Yakan]

Empat Jenis Manusia Dalam Dunia

1. Mereka yang tidak ada lidah dan tidak ada hati.

Mereka ini ialah orang-orang yang bertaraf biasa, berotak tumpul dan berjiwa kerdil yang tidak mengenang Allah dan tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini ibarat melukut yang ringan, kecuali mereka dilimpahi dengan kasih sayang Allah dan membimbing hati mereka supaya beriman serta menggerakkan angota-anggota mereka supaya patuh kepada Allah.
Berhati-hatilah supaya kamu jangan termasuk dalam golongan mereka. Janganlah kamu layan mereka dan janganlah kamu bergaul dengan mereka. Merekalah orang-orang yang dimurkai Allah dan penghuni neraka. Kita minta dilindungi Allah dari pengaruh mereka. Sebaliknya kamu hendaklah cuba menjadikan diri kamu sebagai orang yang dilengkapi dengan Ilmu Ketuhanan, Guru kepada yang baik,Pembimbing kepada agama Allah,Penyampai dan pengajak kepada manusia kepada jalan Allah.Berjaga-jagalah jika kamu hendak mempengaruhi mereka supaya mereka patuh kepada Allah dan beri amaran kepada mereka terhadap apa-apa yang memusuhi Allah. Jika kamu berjuang di jalan Allah untuk mengajak mereka menuju Allah, maka kamu akan jadi pejuang dan pahlawan di jalan Allah dan akan diberi ganjaran seperti yang diberi kepada Nabi-nabi dan Rasul.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda kepada Sayyidina Ali; "Jika Allah membimbing seseorang melalui bimbingan kamu kepadaNya, maka itu terlebih baik kepada kamu dari apa-apa sahaja di mana matahari terbit".
 
2. Mereka yang ada lidah tetapi tidak ada hati.
 
Mereka bijak bercakap tetapi tidak melakukan seperti yang dicakapkannya. Mereka mengajak manusia menuju Allah tetepi mereka sendiri lari dari Allah.Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain, tetapi mereka sendiri bergelumbang dalam maksiat itu.Mereka menunjuk kepada orang lain yang mereka itu Soleh tetapi mereka sendiri melakukan dosa-dosa yang besar. Bila mereka bersendirian, mereka bertindak selaku harimau yang berpakaian. Inilah orang yang dikatakan kepada Nabi SAW. dengan sabda;
"Yang paling aku takuti dan aku pun takut di kalangan umatku ialah orang alim yang jahat".
Kita berlindung dengan Allah daripada orang alim seperti itu. Oleh itu,larilah dan jauhkan diri kamu dari orang-orang seperti itu. Jika tidak,kamu akan terpengaruh oleh kata-kata manis yang bijak berbicara itu dan api dosanya itu akan membakari kamu dan kekotoran hatinya akan membunuh kamu.
 
3. Mereka yang mempunyai hati tetapi tidak ada lidah.
 
Dia adalah seorang yang beriman.Allah telah mendindingkan mereka daripada makhluk dan menggantungkan di keliling mereka dengan tabirNya dan memberi mereka kesedaran tentang cacat cedera diri mereka. Allah menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri urusan orang ramai dan kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan kerana bercakap banyak.
Mereka ini tahu bahawa keselamatan itu terletak dalam "DIAM" dan bekhalwat. Nabi SAW. pernah bersabda;
"Barangsiapa yang diam akan mencapai keselamatan".
Sabda baginda lagi;
"Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri dari sepuluh bahagian, sembilan darinya terletak dalam diam".
Oleh itu mereka dalam golongan jenis ini adalah Wali Allah dalam rahsiaNya, dilindungi dan diberi keselamatan, bijaksana, rakan Allah dan diberkati dengan keredhoan dan segala yang baik akan diberikan kepada mereka.
Oleh itu, kamu hendaklah berkawan dengan mereka dan bergaul dengan orang-orang ini dan diberi pertolongan kepada mereka. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan dikasihi Allah dan kamu akan dipilih dan dimasukkan dalam golongan mereka yang menjadi Wali Allah dan hamba-hambanya yang Soleh.
 
4.Mereka yang diajak ke dunia tidak nampak(Alam Ghaib), diberi pakaian kemuliaan seperti dalam sabda Nabi SAW;
 
'Barangsiapa yang belajar dan mengamalkan pelajarannya dan mengajarkan orang yang lain, maka akan diajak ke dunia ghaib dan permuliakan".
Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu Ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga dan orang itu akan diberi Allah rahsia-rahsia yang tidak diberi kepada orang lain. Allah telah memilih mereka dan membawa mereka hampir hampir kepadaNya. Allah akan membimbing mereka dan membawa mereka ke sisiNya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia ini dan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuanNya dan pengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu "Orang-orang Allah". Mereka mendapat bimbingan yang benar dan yang mengesahkan kebenaran orang lain.
Mereka ibarat timbalan Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah. Mereka sentoasa mendapat taufiq dan hidayah dari Allah Yang Maha Agung. Orang yang dalam golongan ini adalah pada peringkat terakhir atau puncak kemanusian dan tidak ada Maqam di atas ini kecuali Kenabian.
Oleh itu hati-hatilah kamu supaya jangan memusuhi dan membantah orang-orang seperti ini dan dengarlah cakap atau nasihat mereka. Oleh itu, keselamatan terletak dalam apa yang dicakapkan oleh mereka dan dalam berdamping dengan mereka, kecuali mereka yang Allah beri kuasa dan pertolongan terhadap hak dan keampunanNya.
Sheikh Abdul Qadir Al-Jailan telah bahagikan manusia itu kepada empat golongan. Sekarang terpulanglah kepada diri kita untuk memeriksa diri sendiri jika kita mempunyai fikiran. Dan selamatkanlah diri kita jika ingin keselamatan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita menuju kepada apa yang dikasihiNya dan diredhaiNya, dalam dunia ini dan di akhirat kelak.
 
Dipetik dari Kitab Futuuhul Ghaib oleh Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani.